PBS cadang tambahan kerusi Parlimen di Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau

November 17, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mencadangkan tambahan kerusi Parlimen di Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau untuk dikemukakan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kerusi tambahan itu dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang pertama bagi sesi 2026-2029 di Ibu Pejabat PBS, di Donggongon, di sini, pada Isnin.

Selain lima kawasan berkenaan, beberapa lagi kawasan lain turut dibincangkan, sebelum kertas cadangan dimuktamadkan dan dibawa ke perbincangan GRS untuk diputuskan bersama.

Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam itu turut memutuskan pelantikan tujuh ketua biro utama parti.

Mereka ialah Datuk Joniston Bangkuai yang mengetuai Biro Disiplin dan Tatatertib; Datuk Lo Su Fui (Biro Sosio Ekonomi); Datuk Ruslan Muharam (Biro Kebajikan dan Bencana Alam); Datuk Julita Majungki (Biro Pembangunan Kepimpinan); Datuk Hendrus Anding (Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran); Datuk Dr Christopher Mandut (Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis); dan Datuk Jonnybone Kurum (Biro Pembangunan Keusahawanan).

Mengulas pelantikan itu, Dr Joachim berkata ia bertujuan memastikan setiap biro berfungsi secara aktif dan melaksanakan program berimpak yang memberi manfaat kepada ahli parti serta rakyat Sabah.

“Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah. Saya mahu setiap biro bekerja, turun padang dan membawa hasil yang dapat dirasai oleh ahli dan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya PBS merancang mengadakan Jelajah Kepimpinan Tertinggi ke enam zon PBS bermula awal Januari 2027 bagi mendekati ahli, mendengar pandangan akar umbi dan memperkukuh perpaduan parti.

“PBS komited memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, selaras dengan aspirasi memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – Info X