Search

Lelaki hilang selepas bot bertembung di Pulau Mengalum

May 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Mengalum, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Nur Amin, 21, dan sehingga kini masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah pada jam 9.30 pagi tadi selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan polis.

Katanya, sepasukan dua anggota bersama sebuah Toyota Hilux Vigo digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.36 pagi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Maklumat awal mendapati kejadian pelanggaran bot itu berlaku pada 4 Mei lalu kira-kira jam 9.30 pagi di kawasan perairan Pulau Mengalum.

“Pada jam lebih kurang 11.30 pagi hari sama, pengadu dihubungi rakan sekerja mangsa yang memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dipercayai terjatuh ke laut sebelum hilang.

Katanya, pengadu bersama rakan-rakan mangsa sudah menjalankan pencarian awal di lokasi kejadian, namun gagal menemui mangsa.

“Bot yang terbabit dalam pelanggaran itu dikenal pasti menggunakan nombor pendaftaran JN10172/2/P milik Syarikat Ria,” katanya.

Beliau berkata, pihak PDRM sudah mengaktifkan Ops SAR pagi ini dengan pusat operasi ditetapkan di Jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) belakang Suria Sabah.

“Operasi SAR kini dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama dua bot milik Syarikat Ria.

“Pencarian membabitkan radius kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Ordine berkata, operasi tamat pada jam 11.12 pagi dan pihak PDRM akan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya bantuan tambahan diperlukan. – Info X