KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diseru memperkukuh tahap celik kewangan serta menjaga kesejahteraan mental menerusi penganjuran Karnival Pengurusan Kewangan, Harta Pusaka, Kebajikan dan Pengurusan Psikologi Peringkat Kontinjen Sabah 2026.
Karnival itu menghimpunkan pelbagai agensi strategik membabitkan sektor perbankan, korporat dan institusi pendidikan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada anggota serta pegawai PDRM Sabah.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, kepimpinan kontinjen menegaskan kepentingan pengurusan kewangan secara bijak dalam kalangan warga pasukan demi memastikan kestabilan hidup jangka panjang.

Menurutnya, pemahaman terhadap instrumen kewangan seperti hibah dan wasiat perlu dipertingkat bagi mengelakkan bebanan kepada waris pada masa depan.
“Kegagalan merancang kewangan secara sistematik boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada individu, malah keluarga yang ditinggalkan.
“Sehubungan itu, karnival ini menjadi platform penting untuk memberi pendidikan kewangan secara langsung kepada warga PDRM Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program berkenaan.
Beliau berkata, aspek pengurusan harta pusaka turut diberi perhatian memandangkan isu itu sering timbul akibat kurang pengetahuan masyarakat.
Katanya, program berkenaan menampilkan sesi perkongsian daripada institusi kewangan seperti Ambank (M) Berhad, Tabung Haji, Affin Bank, PRU BSN dan Qaizer Consultancy yang berkongsi teknik pengurusan kewangan, kaedah menabung serta perancangan kewangan berstruktur.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kota Kinabalu turut memberi penerangan berkaitan pengurusan hasil dan tanggungjawab percukaian,” katanya.
Menurutnya, penyertaan institusi pendidikan seperti UUM Leads, City University Malaysia, Kolej Universiti Saito, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan North Borneo University turut memberi nilai tambah kepada karnival itu.
“Institusi berkenaan menawarkan peluang pengajian separuh masa serta konsep bekerja sambil belajar kepada anggota yang ingin meningkatkan kelayakan akademik.
“Langkah ini dilihat sebagai pelaburan masa depan bagi memperkukuh laluan kerjaya warga PDRM,” katanya.
Selain itu, syarikat telekomunikasi dan penyedia bahan pendidikan seperti Celcom, Unifi dan Grolier Book turut memeriahkan program berkenaan.
Mohd Azhar berkata, penglibatan PERKEP serta unit kebajikan PDRM Sabah pula memberi fokus kepada kebajikan anggota dan keluarga.

Dalam masa sama katanya, kepimpinan kontinjen turut menekankan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan warga pasukan memandangkan cabaran tugas di Sabah memerlukan ketahanan mental yang tinggi.
“Stigma terhadap khidmat kaunseling perlu dihapuskan dan anggota digalakkan mendapatkan sokongan psikologi apabila diperlukan.
“Kesejahteraan mental menjadi tunjang kepada kecemerlangan tugas serta prestasi organisasi.
“Karnival ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Polis ke-219 yang mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan warga pasukan,” katanya.
Beliau berkata, program itu menjadi manifestasi keprihatinan pucuk pimpinan dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh anggota PDRM Sabah. – Info X