KENINGAU: Seorang petani ditahan polis selepas dipercayai menyimpan senjata api buatan sendiri dan senapang angin tanpa lesen dalam serbuan di Kampung Kuala Punteh, Sook, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Keningau bertindak hasil risikan Ops Laras sebelum menahan lelaki berusia 44 tahun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemukan dua laras senjata buatan sendiri jenis bakakuk, dua senapang angin serta 20 butir peluru jenis ‘pellet’.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menyimpan senjata berkenaan.
“Suspek mendakwa senjata bakakuk itu diwarisi daripada arwah bapanya, manakala senapang angin pula dibeli daripada kenalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan memburu.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Katanya, permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut. – Info X