KOTA KINABALU: Warisan bakal menyaman 10 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang didakwa telah melanggar kontrak kerana bertindak keluar parti selepas memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Bagaimanapun difahamkan, senarai 10 ADUN itu tidak termasuk ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony yang kini merupakan Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Dalam laporan terdahulu, Warisan menyatakan akan mengambil tindakan terhadap 11 bekas wakil rakyat mereka yang didakwa telah melanggari kontrak selepas PRN 2020.
Bagaimanapun hari ini, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu hanya akan mengambil tindakan saman terhadap 10 bekas ADUN mereka.
“Warisan sedang menyediakan tuntutan mahkamah bagi pelanggaran kontrak terhadap 10 ADUN yang keluar parti dan akan menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk memutuskan kes mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Shafie tidak menyenaraikan 10 ADUN yang dimaksudkan namun menurut sumber, Peter tiada dalam senarai yang akan diambil tindakan.
Peter pada Disember 2021 bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar daripada Warisan untuk menubuhkan KDM.
Bagaimanapun, Juil pada Mei lalu mengumumkan keluar daripada KDM untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ahli langsung.
Sumber terbabit enggan mengulas lanjut mengenai Peter yang tidak berada dalam senarai untuk dikenakan tindakan namun menyatakan yang Warisan tidak meneruskan kes terhadap Peter kerana perubahan senario politik.
Pada Januari lalu, KDM bersama Warisan dan Barisan Nasional (BN)/Umno cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tetapi gagal.
Sejak dari itu, khabar angin kuat mengatakan yang KDM akan bekerjasama dengan Warisan dan BN untuk menghadapi pilihan raya akan datang. – Info X