TAWAU: Seramai 10 individu dipanggil bagi membantu siasatan susulan penyebaran video palsu yang tular mengenai dua individu bersenjata parang melakukan samun di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan bahawa video berkenaan bukan berlaku di daerah Tawau dan ia adalah palsu serta boleh memberi kegusaran kepada masyarakat.
Katanya, polis sudah membuka satu kertas siasatan dan 10 individu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berumur 20 sehingga 60 tahun dipanggil untuk memberi keterangan.
“Video dari rakaman kamera litar tertutup itu telah dimuatnaik di Facebook atas akaun TAWAUKINI bersama kenyataan ‘Taman Berjaya Tawau, 10 kes seperti ini dalam satu bulan, berhati-hati kita semua’
“Hasil siasatan kejadian itu tidak berlaku di Tawau sebaliknya di Ayer Tawar, Perak pada 20 Mei jam 9.34 malam yang telah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jasmin berkata, penyebaran kenyataan palsu itu telah mendatangkan khianat awam, panik atau kegusaran kepada orang awam.
Katanya, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988.
“Tindakan tegas akan diambil dan sabit kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
“Saya ingatkan kepada masyarakat jangan buat kenyataan di media sosial tanpa kesahihan berita itu, perlu sentiasa membuat semakan daripada sumber rasmi atau sumber yang boleh dipercayai,” katanya. – Info X