BEAUFORT: Sebanyak 10 kenderaan termasuk motosikal musnah dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Takuli, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, rumah berkenaan musnah sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.56 pagi sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Kebakaran itu memusnahkan empat buah kenderaan iaitu dua Perodua Myvi, sebuah Perodua Viva dan sebuah van Toyota Hiace, selain enam motosikal yang semuanya terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air serta sumber air terbuka dari longkang menggunakan pam angkut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.07 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Tambahnya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut. – Info X