SANDAKAN: Seramai 100 penunggang motosikal di daerah ini menerima kejutan menggembirakan apabila berpeluang mengisi minyak petrol sehingga tangki penuh secara percuma di Stesen Minyak Petronas Batu 2 1/2, di sini, petang semalam.
Inisiatif anjuran Skuad Antidadah Sabah itu bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan harian penunggang motosikal, malah menjadi pendekatan santai untuk mendekati golongan belia dan komuniti setempat.

Program yang bermula kira-kira jam 4 petang itu turut mendapat perhatian penunggang motosikal termasuk penghantar makanan yang berpeluang menikmati manfaat berkenaan.
Lebih menarik, pengisian minyak percuma itu dilaksanakan sebagai pemanas tirai kepada program Ride SMD (Singgah Masjid Dulu) 2026 yang berlangsung di Masjid Nurussyakirin, Indah Jaya, di sini, hari ini.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Mazlan bersama Pengerusi Skuad Antidadah Sandakan, Mohamad Sufan Bahrin turut turun padang menyantuni penunggang motosikal yang menerima manfaat berkenaan.

Selain membantu mengurangkan beban kos sara hidup, program itu menjadi medan mendekati komuniti bermotosikal bagi menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Pendekatan berkenaan juga selaras dengan aspirasi #DadahTerkawal2030 menerusi kempen ‘Lebih Baik Cegah’ dan ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’.
Pada masa sama, penganjuran program itu bertujuan menggalakkan golongan belia khususnya peminat motosikal supaya lebih aktif menyertai kegiatan kerohanian dan kemasyarakatan.

Program Ride SMD 2026 yang berlangsung dari jam 4 pagi hingga 2 petang hari ini pula menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti bermotosikal dengan institusi masjid, sekali gus membawa mesej bahawa aktiviti permotoran juga mampu menjadi wadah menyebarkan nilai positif dalam masyarakat. – Info X