Search

1,000 guru baharu ditempatkan di Sabah

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menempatkan seramai 1,000 guru baharu di sekolah-sekolah di Sabah sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Adzman Talib, berkata daripada jumlah itu, seramai 315 orang adalah guru sekolah rendah, manakala seramai 685 orang lagi adalah guru sekolah menengah.

Beliau berkata, penempatan itu adalah sebahagian daripada keperluan 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) pada tahun ini di seluruh negara, seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sehingga 30 Jun 2025, kadar pengisian jawatan guru di Sabah mencapai 97.78 peratus, dengan 44,058 guru telah ditempatkan berbanding 45,057 jawatan yang diluluskan di 1,298 sekolah bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.

Adzman berkata, meskipun kadar pengisian hampir penuh, sekolah-sekolah di Sabah masih berdepan kekurangan guru dan usaha berterusan sedang dijalankan bagi mengatasi jurang yang ada.

Antara cabaran utama yang dihadapi dalam perkhidmatan pendidikan, katanya ialah peningkatan jumlah guru memilih untuk bersara awal.

“Pada 2024, seramai 12,607 guru
di seluruh negara bersara awal berbanding 13,192 orang pada 2023. Di Sabah sahaja, sebanyak 947 kes dicatatkan pada 2024 berbanding 813 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau menambah, faktor beban tugas pentadbiran dan tuntutan digitalisasi yang bertindih dikenal pasti antara punca guru meninggalkan profesion lebih awal.

“SPP sedang bekerjasama dengan KPM bagi meneliti penyelesaian menyeluruh untuk memastikan kelestarian tenaga pengajar di sekolah,” katanya.

Adzman turut memuji usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan melalui pelbagai inisiatif serta sokongan kepada sekolah dan pelajar di Sabah.

Sementara itu, Hajiji menzahirkan penghargaan terhadap peranan SPP dalam memastikan pelantikan guru yang berwibawa bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.

Kunjungan hormat itu turut dihadiri Anggota SPP dari Sabah, Datin Seri Nuinda Alias; Setiausaha SPP, Md Radzi Hassim dan Setiausaha Bahagian, Urusetia Cawangan Sabah, Intan Zainab Mohd Bustan.

Dalam program berasingan, Ketua Menteri diberi demonstrasi inovasi pendidikan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh Albert Yek, pengarah syarikat tempatan Samasama Works Sdn Bhd.

Albert berkata kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Sabah itu bertujuan memperkenalkan alat pembelajaran digital berkuasa AI ke sekolah-sekolah di seluruh negeri, dengan 100 unit awal akan diedarkan.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif dan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin. – Info X