Search

100,000 alumni UMS berjaya dalam pelbagai bidang profesional

May 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sehingga kini melahirkan lebih 100,000 alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional, selain menjadi tenaga pakar berkualiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, malah berkata ramai graduan UMS kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar di UMS sendiri selain menyumbang kepakaran di universiti lain dalam dan luar negara.

“Alumni adalah aset penting universiti serta bukti kejayaan UMS dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, adab dan kemanusiaan yang tinggi.

“Mahasiswa perlu mencontohi pengalaman serta nilai kepimpinan yang dibawa oleh alumni dalam membentuk jati diri sebagai pemimpin masa hadapan.

“Setiap perbezaan pandangan perlu diraikan melalui pendekatan dialog, hikmah dan diplomasi, bukannya konfrontasi,” katanya pada Program Santai Alumni UMS yang diadakan selepas solat Jumaat, di Pusat Islam UMS, di sini, pada Jumaat.

Program yang menghimpunkan alumni, pentadbiran universiti dan pimpinan mahasiswa itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.

Azrul turut menyampaikan khutbah Jumaat yang menyentuh mengenai peranan anak muda dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Kasim menegaskan generasi muda perlu menjadi agen perpaduan, membawa suara masyarakat secara berhemah serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian sosial.

Beliau turut menekankan komitmen UMS untuk terus melahirkan graduan yang seimbang dari sudut akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan selaras dengan aspirasi ‘Sabah Maju Jaya’.

Alumni pula katanya perlu terus menyumbang idea, jaringan dan pengalaman demi pembangunan universiti serta masa depan UMS yang lebih cemerlang.

Ends