Search

12 rumah terbakar dalam kebakaran di Kampung Kalansanan

July 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, terjejas dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian itu, 11 rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan 50 peratus.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa apabila semua penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.20 malam sebelum menggerakkan anggota bersama bantuan dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan 12 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 277.34 meter persegi.

“Daripada jumlah itu, 11 rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan enam pancutan air.

“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera, Water Tanker dan sungai berhampiran.

“Seramai 37 anggota bersama tiga jentera, dua Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah water tanker serta beberapa kenderaan operasi terbabit dalam operasi berkenaan.

“Api berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X