Search

13 ‘hiker’ sesat ketika mendaki ditemui selamat

May 24, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 13 pendaki yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, di sini, malam tadi, berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba.

Dalam kejadian itu, semua mangsa membabitkan 12 perempuan dan seorang lelaki dilaporkan sukar mencari jalan turun dari kawasan bukit berikutan keadaan gelap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam.

Katanya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera Compact Rescue Tender (CRT) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati semua mangsa masih berada di atas bukit dan tidak dapat mencari laluan keluar.

“Pasukan bomba kemudian berjaya menemui kesemua mangsa sebelum mengiringi mereka turun dengan selamat hingga ke pintu utama RDC,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.14 malam selepas semua mangsa dipastikan selamat. – Info X