KOTA KINABALU: Seramai 1,306 mangsa banjir membabitkan 699 keluarga di Kota Marudu, Pitas dan Paitan dipindahkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas tiga daerah itu diisytihar dilanda bencana banjir sejak Selasa.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat tengah hari ini, Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 998 mangsa, diikuti Paitan (266 mangsa) dan Pitas seramai 42 mangsa.
Mangsa terdiri daripada penduduk dari 40 kampung yang terjejas akibat banjir di ketiga-tiga daerah setakat ini dengan Paitan paling banyak terjejas iaitu 26 kampung, diikuti Kota Marudu sebanyak lapan kampung, manakala enam kampung di Pitas.
Banjir yang bermula pada Selasa itu adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pertengahan Februari lalu yang ketika itu menyaksikan lebih 5,000 mangsa dipindahkan di tiga daerah utara Sabah itu. – Info X