KENINGAU: Ada yang sanggup menyusup masuk ke dalam semak dan bersembunyi di celah pokok dalam kegelapan malam, semata-mata untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.
Namun, helah segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) itu gagal apabila lokasi persembunyian mereka dikesan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, awal pagi tadi.
Operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 4.00 pagi tadi itu menyasarkan dua penempatan yang didiami warga asing di sekitar daerah berkenaan. Lokasi terbabit diserbu selepas dikenal pasti hasil risikan dan aduan awam yang diterima sejak sebulan lalu.
Serbuan dijalankan oleh pasukan JIM dengan kekuatan seramai 84 pegawai pelbagai pangkat dari Pejabat Imigresen Keningau, Tenom, Ranau, Sipitang dan Kota Kinabalu, dibantu anggota Agensi RELA Keningau.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama sebulan terhadap dua lokasi yang dikenal pasti menjadi penempatan PATI.

“Seramai 216 individu diperiksa dalam operasi itu dan 141 warga asing ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki, 38 wanita, 38 kanak-kanak lelaki dan 31 kanak-kanak perempuan warga Filipina serta 16 lelaki, enam wanita dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Semua warga asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar, untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengaji dan melindungi PATI,” katanya. – Info X