Search
Search
Close this search box.

146 pelajar cemerlang SPM, STPM di Penampang terima bantuan insentif

October 25, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Seramai 146 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Tahun 2022 dari empat buah sekolah kawasan Penampang menerima bantuan insentif kecemerlangan daripada Yayasan Bank Rakyat.

Majlis penyampaian bantuan insentif itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

“Bagi pihak penerima, keluarga dan sekolah-sekolah kawasan Penampang, saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan besar mereka.

“Saya berharap agar insentif ini boleh menjadi inspirasi kepada para pelajar yang sedang belajar di sekolah menengah seluruh negara khususnya di Penampang supaya turut sama mencetuskan kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang SPM dan STPM Tahun 2022, di Dewan SM St.Michael, Penampang, di sini, hari ini.

Kesemua pelajar cemerlang yang menerima bantuan insentif sejumlah RM61,500 daripada Yayasan Bank Rakyat itu adalah daripada SM St.Michael Penampang, SMK Bahang, SMK Limbanak dan SMK Datuk Peter Mojuntin.

Ewon berharap majlis seumpama itu dapat diteruskan pada tahun hadapan sebagai penghargaan dan pembakar semangat kepada para pelajar.

“Selain sumbangan insentif kepada pelajar cemerlang, Yayasan Bank Rakyat juga telah memberikan sumbangan sejumlah RM80,000 kepada empat buah sekolah menengah berkenaan.

“Setiap sekolah menerima sebanyak RM20,000 sebagai sokongan kepada pihak sekolah untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan terutamanya berkaitan persediaan SPM dan STPM,” katanya.

Mengenai pelajar tercicir yang tidak mengambil peperiksaan SPM, Ewon berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Di peringkat kementerian, kita juga mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini. Kita berhasrat untuk menjadikan keusahawanan sebagai option mereka kerana tanpa sijil SPM sudah tentu mereka menghadapi cabaran memasuki mana-mana kolej atau universiti.

“Jadi pilihannya ialah menceburi bidang keusahawanan, kita mahu membangunkan satu modul keusahawanan iaitu TVET Keusahawanan, satu kursus yang diakreditasikan dan seterusnya diberikan pembiayaan permulaan untuk remaja atau golongan muda yang memulakan perniagaan,” katanya.

Ewon berkata bagi meneliti seterusnya melaksanakannya, beliau telah berjumpa dengan Lembaga Pengarah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) untuk melihat bagaimana modul TVET Keusahawanan itu boleh dibangunkan sebagai option kepada golongan muda memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun modul ini tidak terhad kepada mereka yang tidak mempunyai SPM sahaja, tetapi ia juga akan diolah untuk semua termasuk pelajar lepasan SPM atau institut pengajian tinggi yang ingin memulakan perniagaan.

“Perkara ini kita sedang teliti dan bincang. Mudah-mudahan tahun depan kita boleh melancarkan program ini,” katanya.

Ewon berkata sebagai permulaan di bawah SME Corp, satu daripada agensi kementeriannya, Program Tunas Usahawan telah ditambahbaik iaitu jumlah pembiayaan ditambah kepada RM30,000 berbanding RM15,000 sebelum ini. – Info X