KENINGAU: Kegilaan sekumpulan lelaki menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan berakhir apabila 15 individu diberkas polis dalam operasi khas di Jalan Keningau – Apin-Apin, berhampiran Kilometer 4, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, tangkapan itu hasil operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Keningau.
“Susulan maklumat diterima, operasi berkenaan dilancar bagi mengekang kegiatan lumba haram yang mencetuskan kegusaran pengguna jalan raya.
“Dalam operasi jam 9 pagi itu, polis turut menyita empat kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal yang digunakan dalam perlumbaan itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yampil berkata, semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, selain Seksyen 48(1) akta sama berhubung halangan disebabkan kenderaan di jalan.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu sekatan ke atas pertandingan atau ujian kelajuan.
“Tiada kompromi terhadap sebarang aktiviti lumba haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan lumba haram bagi membantu usaha membanteras aktiviti berbahaya itu.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berlumba di atas jalan sehingga mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan. – Info X