Search

15 penyokong bertuah menang pakej ke Old Trafford pada himpunan terbesar peminat United di KK

June 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 15 penyokong bertuah Manchester United membawa pulang pakej lawatan lengkap ke Stadium Old Trafford selepas memenangi cabutan bertuah pada Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Kali Ke-8 yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan turut mencipta sejarah apabila menghimpunkan kira-kira 1,200 penyokong Manchester United dari seluruh negara serta Brunei, sekali gus menjadi perhimpunan terbesar penyokong kelab gergasi England itu pernah dianjurkan di Malaysia.

Tetamu hadir dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Kuala Lumpur dan Kuching bagi memeriahkan majlis yang bertemakan ‘Sea of Red’ selepas semua tiket habis dijual lebih awal.

Kemuncak acara ialah cabutan bertuah yang menyaksikan 15 ahli United Malaysia memenangi pakej lawatan ke Old Trafford atau lebih dikenali sebagai Theatre of Dreams.

Setiap pemenang menerima pakej lengkap yang merangkumi tiket perlawanan Manchester United, penerbangan pergi balik serta penginapan, sekali gus merealisasikan impian mereka menyaksikan aksi pasukan kesayangan di gelanggang sendiri.

Pengerusi Penganjur, Bryan Faurillo, berkata pemberian hadiah itu adalah penghargaan kepada ahli yang selama ini menunjukkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kelab penyokong berkenaan.

“Ini adalah semangat sebenar United Malaysia, iaitu menghargai kesetiaan, semangat dan perpaduan ahli-ahli kami.

“Melihat kegembiraan pada wajah 15 pemenang apabila mengetahui mereka akan berkunjung ke Old Trafford adalah detik yang amat bermakna buat kami semua,” katanya.

Sementara itu, Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam yang dipilih tanpa bertanding untuk menerajui persatuan itu bagi penggal keenam pada Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) yang diadakan lebih awal pada hari sama, berkata hadiah berkenaan mencerminkan komitmen persatuan dalam menghargai sokongan ahli.

“Kami membina majlis makan malam ini khusus untuk ahli kerana mereka adalah nadi kepada United Malaysia. Menghantar 15 ahli bertuah ke Old Trafford adalah cara kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan mereka.

“United Malaysia bukan mengenai mana-mana individu, sebaliknya mengenai seluruh ahlinya. Sebab itu kami memilih untuk memberi peluang kepada 15 ahli merasai sendiri pengalaman berada di Theatre of Dreams,” katanya. – Info X