Search

1,534 kes, rampasan RM30.37 juta direkod KPDN Sabah

December 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,534 tindakan kes direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah hasil pemeriksaan premis perniagaan di seluruh negeri, dengan nilai rampasan mencecah RM30,378,881.51 sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J Berinus Agang berkata, jumlah rampasan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM9,132,304.17 bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, KPDN Sabah melaksanakan 136,600 pemeriksaan premis melibatkan kawasan bandar dan luar bandar, hampir dua kali ganda berbanding 67,972 pemeriksaan yang direkodkan pada 2024.

“Pemeriksaan ini digerakkan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan utama termasuk Ops Tiris, Ops Ria dan Ops Kesan 4.0 bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta membanteras ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi.

“Selain rampasan, KPDN Sabah turut mengeluarkan kompaun bernilai RM662,250 membabitkan pelbagai kesalahan, manakala 96 kes dibawa ke mahkamah sepanjang 2025,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam aspek perlindungan pengguna pula, katanya, kementerian menerima 1,967 aduan di seluruh Sabah dengan 1,861 aduan berjaya diselesaikan, manakala 106 aduan masih dalam siasatan.

Menurutnya, semua operasi penguatkuasaan digerakkan oleh 204 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negeri bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi dan aktiviti perniagaan berjalan selaras dengan perundangan sedia ada.

“Usaha penguatkuasaan turut dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta pihak berkuasa tempatan.

“Kerjasama antara agensi ini membantu memperkukuh tindakan membanteras ketirisan barangan kawalan, khususnya di sempadan dan perairan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya berperanan sebagai mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat berkaitan peniaga tidak beretika atau sebarang pelanggaran undang-undang perdagangan.

Katanya, aduan boleh dikemukakan melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian 1-800-886 800, emel [email protected], aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan atau secara bertulis ke pejabat KPDN berhampiran. – Info X