LAHAD DATU: Pertandingan Golf Kaamatan yang berlangsung di Lahad Datu Golf & Country Club, di sini berjaya menghimpunkan 160 pemain golf dari seluruh Sabah.
Kehadiran mereka bagi merealisasikan usaha membeli mesin hemodialisis baharu untuk Hospital Lahad Datu yang disasarkan penganjur program amal itu.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari, bermula 19 Julai itu mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kejohanan itu bukan sekadar medan beraksi di padang golf tetapi turut menjadi platform menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dengan semangat kebajikan.
Pengerusi Penganjur merangkap Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pertandingan itu memberi manfaat besar kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan mesin hemodialisis untuk menjalani proses rawatan di daerah ini.
“Kita amat menghargai sumbangan kewangan, tenaga serta sokongan moral yang diterima daripada pelbagai pihak sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.

Acara itu turut diserikan dengan persembahan budaya daripada komuniti tempatan seperti Kadazandusun, Cocos dan Dusun Begahak yang mempamerkan keunikan tradisi masyarakat Lahad Datu kepada peserta dan tetamu.
Victor menyifatkan kejayaan program itu membuktikan kolaborasi antara agensi keselamatan, komuniti perniagaan dan masyarakat setempat mampu mewujudkan perubahan positif dalam penyediaan kemudahan kesihatan di daerah ini.
Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce and Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening pula yakin kejayaan itu mampu menjadi pencetus kepada lebih banyak program berkonsepkan kebajikan di seluruh Sabah.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebajikan rakyat yang memerlukan. – Info X