Search

1,729 peluang pekerjaan diwujudkan di POIC Lahad Datu, majoriti belia tempatan

April 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,729 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam sektor hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu setakat ini, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya diisi oleh warga tempatan termasuk belia dari kawasan DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata peluang pekerjaan itu terhasil menerusi operasi 75 syarikat yang terlibat dalam pelbagai aktiviti industri seperti oleokimia, biodiesel serta penghasilan produk berasaskan biojisim.

“Pelaburan dalam sektor ini bukan sahaja merancakkan pembangunan industri, malah membuka ruang pekerjaan yang luas kepada masyarakat tempatan, khususnya golongan belia,” katanya ketika menjawab soalan YB Datuk Mohd Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Beliau menjelaskan, industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu menawarkan pelbagai jenis pekerjaan merangkumi pelbagai tahap kemahiran dan kepakaran, termasuk operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, serta pegawai teknikal dan kejuruteraan.

Selain itu, sektor berkenaan turut menyediakan peluang dalam bidang sokongan seperti logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran, sekali gus memperkukuh ekosistem pekerjaan di kawasan berkenaan.
Dari segi pendapatan, Ewon berkata gaji yang ditawarkan adalah kompetitif bergantung kepada tahap kemahiran, kelayakan dan pengalaman pekerja.

“Bagi pekerja am dan operator, pendapatan dianggarkan antara RM1,500 hingga RM2,600 sebulan, manakala juruteknik atau penyelia memperoleh sekitar RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

“Bagi jawatan pegawai teknikal atau profesional pula, pendapatan adalah RM4,000 dan ke atas,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor itu menyediakan laluan perkembangan kerjaya yang jelas kepada belia tempatan, termasuk peluang kenaikan daripada peringkat operator kepada penyelia dan seterusnya ke jawatan teknikal atau pengurusan melalui pengalaman kerja serta latihan berterusan.

Mengulas soalan tambahan, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik melalui POIC dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program pensijilan serta latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

“Buat masa ini, tiada cadangan spesifik untuk mewujudkan pusat latihan satelit di Lahad Datu, namun kerajaan negeri terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak industri bagi merealisasikan inisiatif berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, kewujudan POIC Lahad Datu dengan pelbagai operasi industri telah mewujudkan rantaian perkhidmatan dan industri yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada usahawan muda tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri hiliran sawit di kawasan berkenaan,” katanya. – Info X