TAWAU: Sebanyak 18 rumah atas air di Batu 4, Kampung Kurnia Jaya, di sini musnah dalam kebakaran petang tadi, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 500 rumah lain daripada turut terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang sebelum jentera bergegas ke lokasi yang hanya lapan kilometer dari balai.
Katanya, seramai 25 anggota bomba digerakkan, termasuk 20 anggota dari BBP Tawau serta lima anggota Bomba Bantuan dari BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan.
“Turut membantu ialah empat anggota polis (PDRM) dan 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebaik tiba pada jam 4.34 petang, api sudah marak dan membabitkan deretan rumah tidak kekal atas air. Sebuah kereta Proton Wira turut terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan secara defensive menggunakan dua aliran 400 kaki dan dua pancutan air daripada tangki jentera serta sumber air terbuka iaitu air laut.
Jemishin berkata, pasukan berjaya mengawal api daripada merebak lebih jauh dan menyelamatkan ratusan rumah lain yang berada rapat antara satu sama lain.
“Api dapat dikawal pada jam 4.45 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.47 petang selepas pemeriksaan mendapati kawasan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X