Search

1,910 kebakaran di Sabah tahun lalu, kerugian cecah RM145 juta

February 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan 1,910 kes kebakaran dengan 13 kematian sepanjang tahun lalu, membabitkan kerugian harta benda dianggarkan mencecah RM145 juta.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, daripada jumlah itu, kebakaran bangunan struktur menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Menurutnya, kebakaran berpunca daripada elektrik merekodkan 692 kes, sekali gus menjadi penyumbang terbesar insiden kebakaran di negeri ini sepanjang 2025.

“Data ini menunjukkan kesedaran mengenai risiko kebakaran khususnya berpunca daripada penggunaan elektrik di rumah amat penting.

“Langkah pencegahan awal dan pemeriksaan berkala seperti memastikan suis elektrik serta peralatan rumah dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah mampu mengurangkan risiko kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Palm Square, Center Point Shopping Complex, di sini, pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Abdul Wahid Abd Razak yang mewakili menteri berkenaan, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif.

Mohd Pisar berkata, kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan kebakaran selain memupuk budaya bertanggungjawab dan proaktif dalam mengurus risiko di rumah serta komuniti.

Katanya, inisiatif itu juga memastikan kesiapsiagaan anggota bomba sentiasa berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindak balas kecemasan dilaksanakan secara pantas, cekap dan selamat.

“Keselamatan kebakaran bukan sekadar isu teknikal, tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara pihak berkuasa, komuniti dan keluarga.

“Kesedaran ini diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK), Pasukan Bomba Komuniti, Bomba Sukarela, Kadet Bomba, Bomba Junior dan Kelab Bomba Cilik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti memastikan suis elektrik dimatikan sebelum meninggalkan rumah, tidak meninggalkan lilin atau dapur tanpa pengawasan serta tidak bermain mercun atau bunga api tanpa kawalan.

“Langkah ini bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah membantu membentuk budaya keselamatan sebagai amalan harian dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Terdahulu, Abdul Wahid bersama Mohd Pisar menyempurnakan gimik pelancaran kempen berkenaan yang diadakan bersempena musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat. – Info X