Search

2 lelaki curi kabel ditahan pengawal keselamatan sebelum diserah kepada polis

April 10, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan dua lelaki terbabit kegiatan mencuri kabel dan merampas segulung kabel elektrik bersama alat pemotong di sebuah bangunan milik Sabah Softwood, Kampung Pasir Putih, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, pengawal keselamatan terkesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan membawa sebuah guni keluar dari bangunan berkenaan.

Pengawal keselamatan bersama tiga rakannya kemudian menahan kedua-dua suspek dan merampas guna berisi kabel elektrik dipercayai dicuri dari bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak pantas ke lokasi selepas menerima maklumat berkenaan kejadian itu.

“Sebaik tiba di pondok pengawal, polis menahan semula kedua-dua suspek yang diserahkan oleh pengawal keselamatan berkenaan bersama barang rampasan.

“Antara barang rampasan iaitu satu gulung kabel elektrik, mata gergaji besi yang diubahsuai, sebarang test pen, alat pemotong yang digunakan untuk membawa kabel curi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, hasil semakan mendapati salah seorang suspek warga tempatan berusia 41 tahun memiliki enam rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Seorang lagi suspek adalah warga asing berusia 28 tahun turut memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Anggaran kerugian akibat kerugian kabel ini bernilai RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64,” katanya. – Info X