SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki cuba menyeludup keluar 25 tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran melalui kawasan laut Terusan, di sini, semalam.
Suspek berusia 59 dan 65 tahun ditahan sepasukan anggota PPM dalam Ops Taring Gelora selepas bot kayu yang dikendalikan suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 5.30 petang.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 25 tong gas LPG dan satu tangki berisi petrol ditemui dalam ruang bot.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang lesen atau permit yang dikeluarkan oleh pemilik bot berkenaan.
“Seterusnya tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut.
“Semua barang rampasan berjumlah RM15,900 itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kita akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi di laut bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan,” katanya. – Info X