Search

2 rumah atas air di Sim-Sim roboh

March 27, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua rumah di perkampungan atas air roboh dalam kejadian di Jambatan 18, Lot 336 Jalan Sim-Sim, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Sandakan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati memang terdapat dua buah rumah yang dilaporkan roboh dan operasi terus dijalankan.

Keadaan salah sebuah rumah yang roboh di Jambatan 18, Lot 336 Jalan Sim-Sim, Sandakan. – Foto/Bomba

“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba masih menjalankan pemantauan di lokasi kejadian.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X