Search

2 warga Filipina ditahan seludup petrol

May 14, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan dua individu warga Filipina menyeludup 12 tong berisi petrol menerusi Op Tiris di perairan daerah ini, semalam.

Bot dinaiki kedua-dua suspek berusia 19 dan 51 tahun itu ditahan di posisi kira-kira empat batu nautika timur laut, Pulau, Kankamat, kira-kira jam 4 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil daripada maklumat perisikan yang diterima mengenai kegiatan penyeludupan minyak petrol, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Tiris mengesan bot suspek di kawasan berkenaan.

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, dua individu berada di dalam bot berkenaan warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut juga turut menemui sejumlah 12 tong warna biru berisi minyak petrol dibawa bot berkenaan tanpa sebarang permit yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dua warga Filipina ditahan APMM Kudat selepas cuba menyeludup petrol ke negara jiran melalui perairan Kudat. – Foto/APMM

Menurutnya, semua minyak petrol itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Suspek bersama bot serta barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM15,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Maurice Grenville berkata, pihaknya menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu APMM dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada APMM menerusi Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X