Search

209 PATI Indonesia dihantar pulang

September 26, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 209 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diusir pulang ke negara asal menerusi Terminal Feri Tawau, semalam.

Mereka terdiri daripada 150 lelaki, 35 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 60 tahun.

Semua PATI itu dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan sebelum dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express dan Purnama Express.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa dan masuk tanpa dokumen sah.

“Mereka juga selesai menjalani hukuman penjara sebelum disenarai hitamkan untuk mengelak daripada kembali semula ke negara ini.

“Setakat tahun ini, sebanyak 1,496 PATI Indonesia sudah dihantar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan 8,025 tahanan asing berjaya dipindahkan sejak program pengusiran dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka menerusi Terminal Feri Tawau.

Menurutnya, pemindahan itu sebahagian daripada operasi berterusan pihaknya bagi mengelak tahanan ditempatkan terlalu lama di depot imigresen.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan diberikan.

“Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan masyarakat dan majikan supaya mengambil pekerja asing mengikut saluran undang-undang kerana operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa di seluruh negeri ini. – Info X