TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ke negara asal, semalam.
Program pemindahan tahanan PATI itu dijalankan menggunakan pengangkutan udara terus ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 24 lelaki sahaja.
Katanya, ini membabitkan pemindahan tahanan warga China yang berusia lingkungan 31 hingga 64 tahun.
“Semua tahanan dari Depot Imigresen Tawau yang ditahan selepas dikesan masuk ke negara ini secara salah.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara dan 20 PATI dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang seorang dan dipindahkan balik ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, baki empat lagi PATI hanya dikenakan tindakan usir balik ke negara asal kerana mengambil kira faktor usia PATI yang lanjut.

Katanya, semua PATI yang dipindahkan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–
Peraturan Imigresen 1963.
“Berdasarkan penghantaran kali ini, seramai 34 orang tahanan warga China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024.
“Manakala statistik keseluruhan pemindahan warga asing yang membabitkan pengangkutan udara saja adalah adalah seramai 256 orang,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, setakat 30 Oktober tahun ini, JIM Sabah sudah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot sebanyak 98 kali membabitkan pemindahan melalui darat, laut dan udara.
Katanya, ia bersamaan 6,873 PATI yang terdiri daripada 4,925 lelaki dan 1,159 wanita serta 789 kanak-kanak.
“Kekerapan program pemindahan tahanan yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan masing-masing bagi mengelakan tahanan terbabit ditahan lebih lama di depot-depot imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua majikan yang menggaji pekerja asing untuk memastikan semua pekerja yang masuk mempunyai Pas (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di Sabah.
“JIM akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuatkuasa,” katanya. – Info X