KOTA KINABALU: Seramai 24,426 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing memenuhi 58 pusat pengundian awal di seluruh Sabah sebaik pintu pusat undi dibuka tepat jam 8 pagi, hari ini.
Daripada jumlah itu, 11,697 adalah anggota tentera bersama pasangan, manakala 12,729 lagi membabitkan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasangan mereka.
Bagi kategori tentera, proses undi awal berlangsung di beberapa kem dan lokasi strategik termasuk Kem Sri Kudat, Kem Paradise Kota Belud, Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Markas Rejimen 507 Askar Wataniah Kota Kinabalu, Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Kem Cenderawasih Lahad Datu serta Kem Kubota di Sebatik.
Sementara bagi kategori polis, pengundian diadakan di IPK Sabah, semua IPD serta beberapa Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata proses pengundian awal berjalan lancar di semua lokasi, dengan kehadiran pengundi mengikut aliran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Walaupun cuaca hujan, kehadiran pengundi awal di Mess Pegawai Kanan IPK Sabah sangat memberangsangkan.
“Kita harapkan semua anggota turun melunaskan tanggungjawab dan capai peratusan pengundian penuh menjelang petang,” katanya selepas menunaikan undi di lokasi berkenaan.
Dalam aspek keselamatan, Jauteh berkata, 12,000 pegawai dan anggota PDRM Sabah digerakkan, termasuk 1,200 anggota bantuan menjelang hari mengundi 29 November ini.
Katanya, semua persiapan dibuat sebaik mungkin dengan kerjasama SPR dan agensi berkaitan bagi memastikan proses pengundian Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 berlangsung lancar dan teratur.

“Bagi pihak PDRM, kita sudah selesai mengundi awal dan kini fokus kepada penugasan keselamatan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menempatkan pegawai serta anggota di beberapa lokasi panas (hotspot) yang dikenal pasti bagi memastikan keamanan selepas proses pengundian selesai.
“Kita belum tahu keputusan pengundian, namun apa juga keadaan, kita akan pastikan semua pihak berpuas hati dengan cara tugas dilaksanakan di Sabah ini.
“Walaupun kawasan dikategori sebagai hotspot, penugasan kita adalah normal mengikut keperluan,” katanya. – InfoX