KUDAT: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam positif dadah ditahan dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di daerah ini, kelmarin.
Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK), kira-kira jam 8 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi bersepadu itu dilakukan berdasarkan maklumat perisikan yang diperolehi sebelum ini.

Katanya, pegawai dan anggota dari semua agensi yang terbabit diatur gerak ke kawasan persekitaran Jeti Nelayan Kudat dan pemeriksaan telah dilakukan oleh pasukan serbuan dari darat.
“Tiga aset ronda zon Maritim Kudat turut diatur gerak bagi melakukan pengawasan serta pemantauan dan seterusnya membuat pemeriksaan di kawasan perairan berhampiran.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat beberapa individu yang bertindak terjun ke
laut dan bersembunyi di antara ruang sempit bot-bot nelayan bagi mengelak daripada diperiksa.
“Bagaimanapun, dengan kehadiran anggota yang ramai serta bantuan pengawasan dan pemantauan aset ronda di laut, individu-individu
gagal melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil operasi berkenaan, seramai 25 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Ini termasuk dua warga tempatan yang didapati positif dadah jenis
Methamphetamine melalui saringan urin oleh pihak AADK.
“Semua suspek ditahan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah ketika diperiksa dan Seksyen 3 (1)
Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 kerana disyaki penagih dadah.
Katanya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua agensi sahabat yang terbabit dalam menjayakan operasi bersepadu ini.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di daerah Kudat sentiasa terjamin,” katanya. – Info X