PUTATAN: Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini sejak sebulan lalu, menyebabkan kira-kira 25,000 penduduk berdepan kesukaran menjalani rutin harian.
EXCO Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah, Kanny Chew Ly Choi @ Adamz, mendakwa ketika ini, Kampung Lok Kawi, Meruntum, Pasir Putih, Petagas, Ketiau dan Kampung Muhibbah antara kawasan paling terjejas.
Berikutan itu, beliau menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak membiarkan isu itu berlarutan tanpa tindakan konkrit.
Katanya, sebahagian penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari sumber luar termasuk membeli daripada lori swasta atau air botol di premis berhampiran.
“Bekalan air yang terputus terlalu lama amat menyusahkan rakyat. Kami Pemuda PN Sabah mendesak JANS agar segera bertindak atau cari penyelesaian lebih berkesan untuk masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, sebagai usaha membantu penduduk sehingga masalah itu diselesaikan pihak berwajib, beliau mengambil inisiatif mengagihkan bantuan air melalui lori tangki air di Kampung Meruntum.

“Kampung Meruntum salah satu kawasan yang terputus bekalan air.
Kami turun bantu setakat yang termampu tetapi ini bukan penyelesaian sebenar.
“Isu ini perlukan campur tangan serius dan tindakan segera pihak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyeru agar pelan penyelesaian jangka pendek dan panjang dilakukan segera.
“Tindakan itu bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan masalah yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya. – Info X