TELUPID: Sebanyak 251 peserta daripada 49 sekolah membabitkan 11 daerah di Sabah menyertai Kejohanan Karate Antara Sekolah Telupid-Tongod Kali Ke-2 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan DMO, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.
Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 14 Jun itu menghimpunkan atlet dari Telupid, Tongod, Ranau, Kinabatangan, Kiulu, Tuaran, Kota Belud, Tamparuli, Tenghilan, Sandakan dan Beluran dalam usaha mencungkil serta mengembangkan bakat sukan karate di peringkat akar umbi.
Acara berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr Jonnybone J Kurum yang turut memuji penganjuran kejohanan berkenaan kerana berjaya menjadi platform penting dalam melahirkan atlet berpotensi untuk mewakili daerah, negeri dan negara pada masa hadapan.

Pada kejohanan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah, manakala SMK Telupid dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.
Pengerusi Kejohanan, Sensei Adrian M Alexious Angkangon berkata, sambutan yang diterima tahun ini membuktikan sukan karate semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, Kelab Persatuan Karate-Do Sabah (SKA) Telupid sentiasa aktif dan proaktif dalam usaha melahirkan atlet berpotensi yang berjaya mencatat pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Persatuan ini sentiasa komited dalam pembangunan sukan karate, khususnya di kawasan pedalaman. Ramai atlet yang dilatih berjaya mengharumkan nama daerah dan negeri dalam pelbagai kejohanan.
“Sehubungan itu, kami berharap persatuan ini dapat diberikan perhatian serta sokongan yang lebih besar daripada pejabat dan kementerian berkaitan bagi memastikan pembangunan atlet dapat diteruskan secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Datuk Dr Jonnybone dalam ucapan perasmiannya mengumumkan kelulusan peruntukan khas bagi penyediaan set tatami kepada Persatuan Karate-Do Sabah Telupid.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan penting bagi membantu melancarkan sesi latihan serta pelaksanaan program pembangunan atlet yang dianjurkan oleh persatuan itu.
“Kerajaan sentiasa menyokong usaha pembangunan sukan di peringkat akar umbi kerana ia bukan sahaja melahirkan atlet berkualiti, malah membentuk disiplin, jati diri dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.
“Saya berharap kemudahan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persatuan Karate-Do Sabah Telupid dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa akan datang,” katanya.
Kejohanan itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform pembangunan bakat muda selain mengukuhkan hubungan antara sekolah dan komuniti karate dari seluruh Sabah. – Info X