Search

3 lelaki curi kabel TM diserkap polis

March 14, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menahan tiga lelaki terbabit kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian di tepi jalan di Jalan Penampang Baru, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 30 tahun ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama kakitangan TM ketika sedang melakukan kegiatan jenayah curi kabel berkenaan di kawasan berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam serbuan yang dilakukan, polis merampas beberapa barangan termasuk kabel TM.

“Pasukan serbuan turut merampas pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketiga-tiga suspek ditahan ketika sedang mencuri kabel TM di tepi jalan di Jalan Penampang Baru, Penampang.

Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah supaya segera melaporkan ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X