RANAU: Tiga pekerja kontrak maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang panel solar di kawasan Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.11 pagi itu, seorang mangsa warga tempatan berusia 50 tahun manakala dua lagi mangsa berusia 25 dan 36 tahun adalah warga asing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, siasatan awal mendapati terdapat empat pekerja ditugaskan memasang panel solar di kawasan berkenaan.
“Ketika sedang memasang panel solar, mereka gunakan perancah besi (scaffolding) pada ketinggian hampir 7.32 meter manakala seorang berada di bawah.
“Ketika pemasangan, panel solar telah menyentuh kabel elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd yang dikategorikan sebagai ‘high voltan’ 11kv (11000 kilovolt),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pasukan bomba membantu mengalihkan ketiga-tiga mayat mangsa ke tempat selamat.
“Seterusnya mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 12.03 tengah hari,” katanya. – Info X