Search

3 penganggur ditahan disyaki curi kabel di Labuan

July 26, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Tiga penganggur ditahan selepas disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad di kawasan Kampung Bukit Kalam dan Kampung Rancha-Rancha, di sini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 35 hingga 42 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Ops Lusuh.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan dan kerosakan kabel di dua kawasan berkenaan pada 4.30 petang, Rabu lalu.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan kerugian sebanyak RM28,000.

“Hasil siasatan polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peralatan dirampas polis yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah curi kabel di Labuan. – Foto/PDRM

Mohd Hamizi berkata, penahanan ketiga-tiga suspek ini berjaya menyelesaikan dua kes yang dilaporkan.

“Dua daripada tiga suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait curi, tipu dan dadah,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah yang berlaku khususnya di wilayah ini. – Info X