TAWAU: Sebanyak 30 pintu rumah kongsi musnah dalam kebakaran di Taman Gemilang Sin Onn, Jalan Sin Onn, di sini, pagi tadi.
Kebakaran membabitkan tiga blok rumah kongsi jenis tidak kekal itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.48 pagi sebelum 14 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba pada jam 9.59 pagi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah blok setingkat yang mempunyai enam pintu serta dua blok dua tingkat dengan keseluruhan 24 pintu.
“Setiap pintu rumah kongsi berkenaan berukuran kira-kira 10 x 20 kaki dan keseluruhan struktur terbakar 100 peratus.

“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran dan lori tangki,” katanya.
Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.25 pagi sebelum anggota meneruskan kerja memadam bara bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity. – Info X