SEMPORNA: Sebanyak 30 rumah penduduk di dua perkampungan atas air di daerah ini terjejas teruk akibat angin kencang, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu turut menyebabkan 20 kenderaan rosak namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian angin kencang, pada jam 6.21 pagi.

Katanya, setiba pasukan bomba di lokasi, terdapat beberapa rumah di perkampungan atas air iaitu Kampung Selamat dan Seri Aman, mengalami kerosakan dan ada rumah yang roboh.
“Hasil pemeriksaan mendapati 20 rumah rosak dan ada yang roboh serta lima kenderaan terjejas. Turut rosak sebahagian bumbung Masjid Kampung Selamat diterbangkan angin.

“Manakala di Kampung Seri Aman, sebanyak 10 rumah dan 15 kenderaan rosak dan berpunca daripada angin kencang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan berlaku litar pintas dan pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak Sabah Electricity untuk memastikan tiada bahaya lain.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi tamat pada jam 7.38 pagi.

“Operasi pemantauan dijalankan lima anggota bomba bersama Sabah Electricity,” katanya. – Info X