Search

30 rumah musnah terbakar

April 29, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 30 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, api marak membakar penempatan seluas kira-kira 1.4 hektar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 21 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh hampir sejam dengan bomba menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba bagi mengelak api terus merebak.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kita berjaya menyelamatkan kira-kira 100 rumah daripada turut terbakar.

“Operasi pemadaman kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X