SEMPORNA: Seramai 300 murid sekolah rendah menerima sumbangan daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini.
Sumbangan itu adalah inisiatif ESSCOM menerusi program ‘Back To School’ yang diadakan di Dewan Al-Khawarizmi, Sekolah Kebangsaan (SK) Balimbang, Semporna.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, program itu bertujuan membantu murid sekolah daripada golongan asnaf dan B40 di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Katanya, sumbangan itu diharap dapat memberikan semangat dan keselesaan kepada murid-murid yang kurang berkemampuan.
“Meskipun dilaksanakan selepas sesi persekolahan, namun perkara yang lebih utama adalah ia dapat memberi manfaat kepada murid sekolah.
“Selain itu, ESSCOM juga dapat bekerjasama dan mengukuhkan hubungan dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Syarikat Canggih Bayu Sdn Bhd dalam menyediakan barangan sumbangan. Jamaluddin berkata, sebanyak 11 buah sekolah rendah di daerah ini yang terbabit dalam program dan menerima sumbangan berkenaan.
“Program ini juga turut mengadakan sesi ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Semporna, Mohd Ariff Alias,” katanya.

Turut hadir, Ketua Staf Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal ESSCOM, SAC Mohamad Pajeri Ali; Guru Besar SK Balimbang, Ariffin Uzam @ Ujam; wakil PPD Semporna, Namla Haji Abdul Hamid dan wakil Pegawai Daerah Semporna, Samsiah Sabdan. – Info X