TUARAN: Ketika populasi penyu terus berdepan ancaman kepupusan, masih ada pihak yang sanggup menyimpan dan memperdagangkan telurnya untuk meraih keuntungan.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar apabila Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Perisikan Siasatan Khas (WCB) merampas 300 biji telur disyaki telur Penyu Hijau dalam serbuan di Kampung Serusup, di sini, semalam.
Dalam operasi khas yang dijalankan hasil risikan dan siasatan bersama itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
JHL Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemukan 300 biji telur yang dipercayai telur Penyu Hijau dengan anggaran nilai rampasan RM3,000.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran yang sah.
“Jabatan memandang serius sebarang aktiviti membabitkan pemilikan, perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan spesies yang dilindungi terus terpelihara.
“Walaupun pelbagai kempen perubahan sikap dan program kesedaran dilaksanakan, permintaan terhadap telur penyu masih wujud dan terus mendorong aktiviti penyeludupan serta penjualan haram,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli, memiliki atau memakan telur penyu kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan penjualan atau penyeludupan telur penyu hendaklah segera disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah hidupan liar serta melindungi populasi penyu di Sabah. – Info X