KOTA KINABALU: Sebanyak 31 daripada 207 projek pembangunan persekutuan di Sabah yang belum dilaksanakan pada Januari lalu sudah memasuki fasa pelaksanaan pada bulan ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata tumpuan kebanyakannya terhadap projek membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Sabah bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata perkembangan itu adalah hasil penyelarasan pemantauan di bawah jawatankuasa itu.
Katanya, aspek penyelarasan pemantauan penting bagi memastikan semua projek pembangunan persekutuan di Sabah dapat dijayakan dan penubuhan jawatankuasa berkaitan perkara itu antara langkah proaktif kerajaan persekutuan dan negeri memastikan semua projek yang masih dalam pra-pelaksanaan dapat dimulakan.
“Dalam mesyuarat Bil 1/ 2025 pada Januari lalu, jumlah keseluruhan projek pra-pelaksanaan di Sabah adalah 207 projek, namun berjaya dikurangkan kepada 176 projek selepas beberapa projek memasuki fasa pelaksanaan.
“Ini menunjukkan perkembangan positif hasil penyelarasan dan pemantauan berterusan yang dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan,” katanya, dalam satu kenyataan media, di sini, pada Sabtu.
Kenyataan itu susulan mesyuarat Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Sabah yag dipengerusinya bersama Shahelmey di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa; Timbalan Ketua Pengarah (Pemantauan dan Penilaian Pembangunan) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali; serta wakil kementerian dan agensi teknikal berkaitan.
Ewon berkata, mesyuarat itu memberi fokus kepada projek persekutuan di Sabah yang masih di peringkat pra-pelaksanaan khususnya di bawah KPM dan KKM.
“Bagi projek di bawah KPM, daripada 57 projek yang dibincangkan, 14 projek kini dalam pelaksanaan dan 19 dalam proses perolehan atau tender, manakala selebihnya dalam proses permohonan Notice of Change (NOC), penelitian lanjut atau ada yang dipinda untuk dipohon semula dalam Rancangan Malaysia akan datang.
“Bagi KKM, daripada 12 projek yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, satu projek sudah dalam pelaksanaan, selebihnya dalam proses permohonan Notice of Change (NOC), penelitian lanjut atau ada yang dipinda untuk dipohon semula dalam Rancangan Malaysia akan datang,” katanya.
Selain memantau status projek, mesyuarat itu juga katanya mencadangkan intervensi yang bersesuaian bagi mempercepat pelaksanaan dan memastikan tiada kelewatan berulang.
Ewon turut menegaskan semua agensi pelaksana perlu memastikan maklumat terkini projek dikemas kini secara berkala dalam Sistem MyProjek bagi menjamin ketepatan laporan dan mempercepat penyelesaian isu teknikal yang timbul. – Info X