KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya mengeluarkan sebanyak 32 kompaun kepada premis makanan yang gagal mematuhi syarat lesen dan kriteria dalam pemeriksaan kebersihan premis makanan sepanjang tempoh Mei 2024.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan dua kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984.
“Antara kesalahan iaitu pengusaha premis gagal memasang perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, pengendali makanan tidak memiliki sijil kesihatan yang sah, pengusaha premis gagal menyelenggara perangkap lemak dengan baik, pengusaha premis
menjalankan aktiviti memasak dan penyediaan makanan di kawasan kaki lima.
“Selain itu, pengendali makanan gagal memakai kad pengendali makanan semasa bekerja, menjalankan perniagaan
dengan lesen tamat tempoh dan menyalurkan air sisa dari tempat memasak di dapur ke parit awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selain itu, 49 Notis Arahan Penambahbaikan turut dikeluarkan kepada pengusaha premis makanan untuk memperbaiki, selain menambah baik kebersihan dan keteraturan premis mereka serta cara-cara pengendalian dan penyimpanan makanan yang betul dan pematuhan kepada syarat-syarat lesen.

“Dalam siri pemeriksaan ini, sebanyak 220 premis makanan diperiksa sepanjang Mei 2024 membabitkan 53 lokasi di seluruh kawasan bandar raya Kota Kinabalu.
“Penarafan bintang tandas premis makanan juga dijalankan iaitu sebanyak 59 premis mendapat tiga bintang ke atas, 70 premis mendapat dua bintang ke bawah manakala 38 premis lagi tidak mempunyai tandas untuk dinilai,” katanya.
Katanya lagi, pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya membuat penambah baikan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan fasiliti tandas premis mereka.
“Pemeriksaan ini turut mendapati sejumlah 66 premis makanan menjalankan kawalan makhluk perosak (pest control) manakala 101 premis makanan lagi belum menjalankan kawalan makhluk perosak di premis mereka.
“Pengusaha yang belum menjalankan kawalan makhluk perosak di premis mereka dinasihatkan untuk menjalankan kawalan makhluk perosak secara berkala,” katanya. – Info X