LABUAN: Taktik menyimpan dan mengurus niaga Gas Petroleum Cecair (LPG) tanpa kebenaran akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas 32 tong gas bernilai RM4,399 dalam serbuan di pinggir bandar Labuan, Isnin lalu.
Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) KPDN Labuan, Amiluddin Malang, hasil intipan dan risikan rapi Unit Perisikan KPDN selepas mengesan pergerakan keluar masuk gas secara mencurigakan di premis tidak berdaftar berkenaan.
Menurut Amiluddin, sebaik pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemukan puluhan tong GPC berisi dalam pelbagai saiz disusun dan disimpan tanpa sebarang kebenaran sah.
“Pemilik premis gagal mengemukakan lesen, permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan, sekali gus menimbulkan syak wujudnya pelanggaran serius melibatkan barang kawalan berjadual, termasuk barangan bersubsidi.
“Semua 32 tong gas berkenaan terus disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4,399.80,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amiluddin menegaskan, jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh berdepan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan hukuman lebih berat.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN memberi amaran keras bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas barangan kawalan bersubsidi demi keuntungan peribadi.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan bekalan yang menjejaskan kepentingan pengguna serta rakyat,” katanya. – Info X