Search

333 pengedar, penagih dadah ditahan

August 7, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seramai 333 individu membabitkan pengedar dan penagih dadah berjaya ditahan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 368.21 gram pelbagai jenis dadah.

“23 individu yang ditahan terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah manakala selebihnya membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Antara dadah yang berjaya dirampas adalah jenis syabu, ganja serta pil ekstasi dan dianggarkan bernilai keseluruhan RM24,403,” katanya pada sidang media di IPD Labuan, di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai sebanyak RM44,156.50 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Bagi kesalahan pencegahan iaitu mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, dua individu sudah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi berkata, pihaknya amat serius dalam misi membanteras jenayah dadah dari semasa ke semasa.

Katanya, ia memfokuskan tangkapan kepada pengedar-pengedar dadah yang bergiat aktif khususnya di pulau berkenaan. – Info X