Search

351 PATI dihantar pulang ke Indonesia, Filipina

June 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 351 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.

Program pemindahan itu membabitkan 213 warganegara Indonesia yang dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan feri Francis Express dan Labuan Express.

Pada masa sama, seramai 138 lagi tahanan PATI warganegara Filipina dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, JIM Sabah memaklumkan kesemua tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 235 lelaki dewasa, 58 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 28 kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 75 tahun.

Katanya, tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk dihantar pulang ke negara asal.

“Sehingga kini, seramai 3,990 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal, membabitkan 1,207 warganegara Indonesia dan 2,578 warganegara Filipina.

“Program pemindahan ini akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang imigresen serta pengurusan tahanan asing di Sabah,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah turut menggesa orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan melalui saluran rasmi jabatan.

Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI. – Info X