KOTA KINABALU: Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di enam lokasi sekitar bandar raya ini dan Penampang, pada Isnin lalu.
Operasi yang turut menyaksikan penahanan seorang majikan itu dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk pusat beli-belah, pusat spa, premis perniagaan dan bilik sewa yang dipercayai menjadi tempat persembunyian PATI.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi bersepadu menerusi Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Gegar itu membabitkan 19 pegawai penguat kuasa.

Katanya, operasi bermula jam 2 petang hingga 11.30 malam itu menyaksikan seramai 312 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing diperiksa.
“Hasil pemeriksaan di enam lokasi berkenaan, seramai 36 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selain seorang majikan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Daripada jumlah PATI yang ditahan, 34 adalah warga Filipina manakala masing-masing seorang warga Pakistan dan Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Menurut JIM Sabah, semua PATI terbabit didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Satu Borang Imm.29 iaitu Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan tidak hanya tertumpu di kawasan Pantai Timur Sabah, sebaliknya turut diperhebat di kawasan bandar termasuk Kota Kinabalu dan Penampang.
Menurutnya, tindakan berterusan akan dilaksanakan di seluruh negeri bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan semua pihak termasuk majikan mematuhi undang-undang imigresen.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dalam usaha memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terus terpelihara,” katanya. – Info X