Search

36 pelancong China salah guna pas lawatan ditahan bersama PATI

August 25, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 36 pelancong China antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Operasi Mahir di Pulau Mataking dan Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam.

Semua pelancong China dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada Filipina itu ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan mereka.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi berkenaan membabitkan seramai 14 pegawai dan anggota penguatkuasa daripada JIM Sabah.

Katanya, operasi itu membabitkan pemeriksaan seramai 95 individu dan tangkapan seramai 61 lelaki dari negara China dan Filipina berusia 19 hingga 64 tahun.

Pelancong China antara yang ditahan menerusi Operasi Mahir di Pulau Mataking dan Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam.

“Ketika serbuan yang dilakukan terdapat warga asing terbabit cuba melarikan diri daripada ditangkap, namun berjaya ditahan pasukan penguatkuasa.

“Hasil pemeriksaan semua pelancong China terbabit mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja di tapak pembinaan pusat peranginan yang jauh dari bandar Semporna,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan PATI terbabit kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (B), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis terbabit untuk disiasat mengikut 55B Akta Imigresen iaitu mengambil pekerja tidak memiliki pas yang sah,” katanya.

SH Sitti Saleha berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi terutamanya warga asing yang datang ke negara ini.

“Saya menyeru kepada orang ramai termasuklah majikan agar tidak melindungi PATI sekiranya tidak mahu berhadapan dengan tindakan tegas undang-undang negara.

“JIM Sabah menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan PATI supaya menyalurkan maklumat dengan segera bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya. – Info X