Search

369 atlet berentap dalam Kejohanan Terbuka Taekwondo SSTA

August 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 369 atlet mempamerkan kehebatan masing-masing dalam Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Penganjuran kali kedua itu menghimpunkan atlet dari Sabah, Sarawak, Selangor dan Perak serta dijangka menarik kira-kira 1,000 pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung hingga esok.

Kejohanan yang berlangsung di Wisma Lembaga Hasil, Karamunsing itu dirasmikan dirasmikan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad.

Setiausaha SSTA merangkap wakil jawatankuasa penganjur, Mohd Hanif Zakhilan berkata, kejohanan itu menyediakan platform kepada atlet muda menguji kemampuan serta meningkatkan kemahiran dalam suasana pertandingan kompetitif.

“Taekwondo bukan sekadar seni mempertahankan diri atau merebut pingat, malah menjadi medan membentuk karakter, disiplin, sikap saling menghormati, kesabaran dan semangat tidak mudah menyerah kalah.

“Kami berharap kejohanan ini dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berpotensi mewakili negeri dan negara pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, penyertaan atlet dari beberapa negeri turut menggambarkan semangat persaudaraan dan perkembangan positif sukan taekwondo di negara ini.

Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran tenaga pengajar dan pengadil antarabangsa, Master Noel Keating dari Thailand sebagai tetamu khas.

Turut hadir Presiden SSTA, Senior Master Christopher Wee; barisan jurulatih, tenaga pengajar, pegawai teknikal serta ibu bapa peserta.

Mohd Hanif berkata, kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan adalah hasil kerjasama jawatankuasa, pengadil, pegawai teknikal, sukarelawan dan sokongan ibu bapa.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun pengalaman, disiplin dan persahabatan yang terbina menjadi perkara paling bernilai kepada setiap atlet,” katanya. – Info X