KOTA KINABALU: Seramai 39,548 pelajar menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 313 pusat peperiksaan di Sabah yang bermula hari ini hingga 6 Februari depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata jumlah itu merangkumi 35,232 calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), diikuti 472 calon sekolah di bawah agensi kerajaan dan 234 calon Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
“Selain itu, seramai 2,425 orang calon persendirian dan 1,185 calon sekolah swasta turut menduduki peperiksaan itu di Sabah.
“Peperiksaan SPM 2024 di Sabah dijalankan di 313 pusat peperiksaan dengan seramai 3,378 orang petugas memastikan kelancaran peperiksaan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau mengingatkan semua calon peperiksaan SPM 2024 di Sabah supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan SPM 2024,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pendidikan Sabah sudah mempersiapkan langkah menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir sepanjang peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sabah.
Katanya, setakat ini belum ada pelajar atau sekolah yang terjejas akibat bencana di Sabah, namun langkah berjaga-jaga tetap dilaksanakan.
Beliau juga mengingatkan calon SPM di negeri ini supaya memaklumkan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Sabah jika berdepan bencana dan tidak dapat menghadiri peperiksaan.
“Jabatan Pendidikan Sabah siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.
“Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Jabatan Pendidikan Sabah,” katanya.
Raisin berkata, Jabatan Pendidikan Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Jabatan Pendidikan Sabah, katanya sentiasa mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera. – Info X