SEMPORNA: Sebanyak empat rumah dan sebuah tabika kemas mengalami kerosakan akibat puting beliung yang melanda di Kampung Sungai Tuhok, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mengakibatkan bumbung rumah mereka tercabut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Mazlan Sarman berkata, pihaknya menerima laporan bencana itu, kira-kira jam 4 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 13 kilometer dari balai bomba.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak empat rumah dan sebuah tabika kemas mengalami kerosakan di bahagian bumbung.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.05 petang. – Info X